'Dipaksa telan sampah, ditumbuk guru sejarah, disepak berkali-kali oleh Ustaz'

Sekadar hiasan

Seorang lelaki menulis menceritakan pengalamannya berada di zaman sekolah menyaksikan beliau 'dibelasah' oleh guru-gurunya ketika berada disekolah.

Ikuti pengalamannya

Mungkin ramai tak percaya saya pernah melalui detik-detik ini sewaktu bersekolah:

1) Didenda menelan hampir separuh bahagian hadapan kasut sekolah, sambil berkaki ayam dan memijak tanah berturap di bawah cahaya matahari selama sejam oleh guru Bahasa Inggeris. Guru yang sama juga pernah memaksa saya menelan sampah dari tong sampah selama sejam. Ini berlaku beberapa kali.

2) Diterajang bertalu-talu di hadapan khalayak oleh seorang Ustaz sehingga muka saya bengkak dan semua butang baju saya tercabut. Puncanya, saya dituduh enggan mengangkat tiang gol yang diarahkannya. Padahal saya mengangkatnya meskipun lengan saya masih berbalut kerana baharu sahaja selesai menjalani pembedahan.

3) Ditampar berkali-kali oleh guru Matematik hanya kerana gagal menjawab soalan spontannya mengenai sifir tertentu. Masa yang diberikan untuk menjawab hanyalah beberapa saat sahaja.

4) Kepala diketuk beberapa kali dengan menggunakan kayu keras sehingga kedengaran bunyi ketukan oleh semua pelajar di dalam kelas. Punca dendaan kerana rakan berbuat bising di dalam kelas.

5) Ditumbuk di belakang sehingga saya mengalami sesak nafas dan terbaring di tapak perhimpunan oleh guru Sejarah. Alasan yang diberikan kerana saya lewat memasuki perhimpunan. Walhal punca kelewatan adalah kerana saya membantu seorang guru Bahasa Melayu mengangkat pelbagai perlatannya dari kelas ke mejanya di pejabat guru.

6) Dimalukan di hadapan pelajar lain bahawa saya mencatat rekod tidak hadir paling tinggi di sekolah oleh guru Matematik. Malah dikaitkan pula dengan gejala syabu. Padahal punca ketidakhadiran saya adalah masalah kemiskinan yang amat menghimpit keluarga sehingga saya terpaksa berjalan kaki setiap hari dan meminjam baju sekolah daripada jiran untuk hadir ke sekolah.

Itulah warna warni dunia persekolahan saya. Semua kisah saya yang sebutkan di atas benar adanya dan ia hanyalah sekelumit dari puluhan memori yang mencengkam perasaan bila saya mengenangnya kembali.

Ya, memang pahit. Namun kini ia adalah memori yang paling manis buat saya.

Kerana makan kasut, dijempur, diketuk, ditampar, diterajang, ditumbuk serta dimalukan itulah saya menjadi insan yang sedar akan kekurangan diri dan masa depan.

Sehingga akhirnya, kini, saya berusaha menjadi insan yang bermanfaat kepada insan lain, baik sebagai guru, pendakwah mahupun sebagai aktivis sosial.
Terima kasih ya Allah.

0 Response to "'Dipaksa telan sampah, ditumbuk guru sejarah, disepak berkali-kali oleh Ustaz' "

Post a Comment